Rasa kurang cergas, mengantuk selepas makan tengah hari dan letih antara masalah biasa yang dialami kebanyakan orang. Perkara ini lebih ketara dalam tempoh satu hingga dua jam selepas makan tengah hari yang boleh menyebabkan produktiviti terjejas.
Kadangkala kita hairan bagaimana orang yang jauh lebih tua boleh kekal cergas dan sentiasa bersemangat melaksanakan tugasnya.
Sebenarnya masalah cepat letih dan kurang cergas disebabkan gaya hidup, tabiat pemakanan dan cara kita mengawal minda serta emosi.
Tabiat dan pemilihan makanan mempengaruhi tahap kecergasan seseorang. Beberapa cara boleh dilakukan untuk meningkatkan kecergasan dan mengatasi masalah cepat letih serta mengantuk di tempat kerja.
# Mesti bersarapan walaupun anda tidak rasa lapar. Kajian menunjukkan individu yang bersarapan berasa lebih baik daripada segi mental dan fizikal. Penyelidik dari Universiti Cardiff, United Kingdom mendapati hidangan seringkas bijirin sarapan pagi boleh merendahkan tahap hormon kortisol iaitu hormon yang menyebabkan tekanan.
# Makan setiap tiga hingga empat jam dalam kuantiti kecil — maknanya anda mesti makan pagi, tengah hari dan malam. Makan secara teratur tiga kali sehari boleh mengawal paras gula dalam darah. Makan sedikit tetapi kerap lebih baik daripada makan banyak pada satu-satu masa. Ini kerana badan menggunakan lebih tenaga untuk menghadam makanan dan ini boleh membuatkan anda berasa letih.
Pastikan setiap hidangan mengandungi karbohidrat dan protein sebagai sumber tenaga. Karbohidrat dari makanan ditukar kepada gula ringkas (sebagai tenaga) dan ini secara tidak langsung mengurangkan keinginan anda kepada makanan manis.
# Lebihkan pengambilan sumber serat — Untuk mengekalkan kesihatan, kita disaran mengambil sekurang-kurangnya lima hidangan serat setiap hari tetapi jika mahu meningkatkan tahap kesihatan dan mencegah penyakit, kita perlu makan lima hingga sembilan hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan sehari.
Serat bukan saja membuat kita berasa lebih cepat kenyang, tetapi tempoh kenyang itu juga lebih lama. Ini kerana serat memperlahankan ‘kemasukan’ karbohidrat ke dalam darah yang membuatkan tenaga tahan lebih lama.
# Minum banyak air. Air sangat penting untuk memastikan semua organ berfungsi secara optimum. Kekurangan air walaupun sedikit boleh membuatkan darah menjadi pekat dan memaksa jantung untuk mengepam lebih kuat. Tanpa disedari perkara ini menyebabkan kita terasa penat.
Air juga membantu melancarkan aliran nutrien ke seluruh badan. Ia juga mengembalikan kepekatan darah ke paras normal. Jika anda berasa mengantuk, terutama selepas makan tengah hari, itu tandanya kurang oksigen sampai ke otak. Untuk mengatasinya, minum lebih banyak air masak bagi menghilangkan rasa mengantuk.
Berapa banyak perlu minum? Sekurang-kurangnya lapan gelas atau satu liter sehari. Ada pengamal perubatan alternatif berpendapat satu liter masih tidak memadai kerana jumlah air yang hilang dari badan mungkin lebih banyak, terutama jika bersenam dan ketika cuaca panas.
Jadi kita disaran minum lebih banyak kerana air menjadi bahan paling murah untuk menyingkir bahan toksik daripada badan. Antara cara untuk mengetahui sama ada anda cukup air atau tidak ialah mengira kekerapan ke tandas dan warna air kencing.
Kekerapan yang normal ialah sekali dalam masa dua hingga empat jam dan air sepatutnya jernih serta berwarna kuning cair. Selain minum air kosong, sumber cecair lain ialah jus buah, sup dan buah-buahan yang mengandungi banyak air seperti tembikai, oren dan anggur. Namun individu yang ada masalah berat badan berlebihan digalak lebih banyak minum air kosong bagi mengelak pertambahan kalori yang tidak diperlukan daripada gula.
# Kurangkan pengambilan minuman mengandungi kafein, terutama pada waktu petang dan malam. Kafein mempunyai kesan diuretik iaitu yang membuatkan anda kerap buang air kecil dan kehilangan banyak air. Bagaimanapun, ini bukan bermakna anda tidak boleh minum kopi atau teh kerana sekadar satu cawan tidak mendatangkan mudarat.
Kajian menunjukkan pengambilan kafein pada kadar sederhana (200 hingga 300 miligram daripada dua atau tiga cawan kopi) boleh membuatkan kita berasa segar selama beberapa jam yang menyebabkan sukar untuk tidur malam dan akibatnya kita akan letih dan mengantuk di tempat kerja.
# Segarkan semangat anda. Pilihan untuk gembira, sedih, malas atau rajin ada di tangan kita. Keletihan fizikal tidak sama dengan keletihan mental. Biasanya keletihan mental membuat anda berasa tidak bermaya dan tiada semangat untuk melakukan sebarang perkara.
Keletihan fizikal hilang selepas kita mandi, berehat atau tidur seketika. Namun keletihan mental, termasuk perasaan sedih, marah, geram, bosan, bimbang atau tekanan lain, akan berlarutan selagi ia tidak ditangani.
Badan bertindak balas terhadap perasaan yang kita pilih. Jika kita mahu berasa gembira, secara automatik badan dan otak terasa lebih bertenaga dan cergas. Namun jika anda masih terasa lesu, cuci muka. Ada kajian menunjukkan terapi air yang mudah ini boleh membuatkan kita berasa lebih segar.
# Jangan mengeluh dan hilangkan apa yang terbuku dalam hati. Keluhan memberi kesan negatif kepada semangat kita. Perasaan terbuku sebenarnya adalah kesan sampingan tekanan yang boleh menyebabkan degupan jantung menjadi cepat dan meningkatkan tekanan darah.
Kenal pasti apa yang membuatkan anda berasa tidak puas hati dan cari jalan untuk menyelesaikannya. Jika ia membabitkan perkara di luar bidang kuasa dan kemampuan kita, cara terbaik ialah dengan berasa reda kerana kita memang tidak mungkin memiliki semua yang diingini.
Jangan pandang rendah pada diri sendiri kerana tuhan menjadikan setiap insan sebagai individu yang sangat unik. Cari kelebihan diri dan gunakan ia sebagai perangsang semangat untuk menjalani hidup dengan lebih baik. Didik diri menjadi pemaaf kerana sikap ini sebenarnya memberi kesan positif terhadap minda dan emosi kita.
# Amalkan teknik pernafasan betul. Tarik nafas dalam-dalam (hingga terasa udara masuk ke dalam perut), tahan seketika dan lepaskan perlahan-lahan. Ulang 10 kali. Apabila dalam keadaan tertekan, pernafasan menjadi cepat dan pendek. Akibatnya kurang oksigen dibawa masuk ke dalam badan yang membuatkan kita berasa cepat letih.
# Senyum dan lakukan perkara baik. Senyuman bukan saja membuat orang berasa senang, tetapi ia juga mententeramkan perasaan kita. Selain itu, lakukan perkara baik dengan membantu orang lain. Peluang untuk berbuat baik sentiasa ada di keliling keliling kita, terpulang kepada anda sama ada mahu memanfaatkannya.
# Kurangkan penggunaan televisyen dan komputer selepas jam 8 malam. Malam adalah waktu untuk anda berehat. Cahaya televisyen dan komputer menyebabkan anda lebih sukar tidur dan berehat.
# Belajar menangani tekanan. Jika ada masalah, usah pendam sendirian. Luahkan kepada orang yang anda percaya dan boleh menyimpan rahsia. Jika anda sukar meluahkan perasaan dengan kata-kata, curahkan masalah anda di atas kertas. Ini juga sebahagian daripada terapi untuk mengurangkan tekanan.
# Dapat rehat secukupnya. Pastikan anda mendapat cukup tidur yang berkualiti. Jika di tempat kerja, berhenti rehat seketika setiap jam dengan bangun dari tempat duduk untuk mengurangkan tekanan pada sesetengah anggota badan.
# Bersenam. Ini adalah cara efektif untuk mengembalikan tenaga. Ramai bertanya kalau sudah letih bagaimana mahu bersenam? Rahsianya, apabila anda bersenam, badan mengeluarkan tenaga daripada lemak yang disimpan dan ia secara tidak langsung membuat anda berasa lebih segar, fikiran tenang serta mudah tidur pada waktu malam.